KUALA LUMPUR, 24 Sept — Dakwaan mempunyai sokongan majoriti ahli parlimen bukanlah pertama kali diumumkan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Terdahulu, pada September 2008, Presiden PKR itu pernah membuat pengumuman yang sama selepas Pakatan Rakyat tewas tipis dengan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12.
Barisan Nasional (BN) ketika itu diterajui Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri menang 140 kerusi, pertama kali tanpa majoriti dua pertiga ahli Parlimen.
Pada masa itu, di dalam sidang media di pejabat PKR, Anwar mendedahkan bahawa 31 Ahli Parlimen BN sudah melompat dan menyertai Pakatan Rakyat lalu menggesa Abdullah supaya tidak menguatkuasakan undang-undang darurat kerana peralihan kuasa akan berlaku.
Walaubagaimanapun peralihan kuasa seperti yang didakwa Anwar tidak berlaku.
Kini, pada September 2020, Ahli Parlimen Port Dickson itu sekali lagi membuat pengumuman yang serupa, mendakwa beliau mendapat sokongan yang kukuh iaitu hampir dua pertiga kerusi Parlimen yang memungkinkan peralihan kuasa.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan bahawa semua pihak harus menunggu sehingga Anwar buktikan dakwaan sokongan majoriti yang diperolehinya memandangkan kenyataannya sebelum ini yang berlaku pada 2008 tidak pernah dibuktikan. –