KUALA LUMPUR, 24 Sept — Rayuan yang dibuat terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang menolak permohonan untuk dibebaskan daripada tuduhan gagal mengisytiharkan RM2 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan memberi penyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ditarik balik oleh Datuk Seri Ahmad Maslan hari ini.
Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat mengesahkan bahawa dia menerima notis penarikan balik rayuan tersebut yang dihantar pada 03 Ogos lalu oleh peguam yang mewakili Ahmad, 54, Atiqah Nazihah Azmi dan dan telah dimaklumkan kepada Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Muhammad Jamil Hussin.
Muhammad Jamil kemudiannya membatalkan rayuan tersebut.
Menurut Atiqa Naziha, penarikan balik rayuan itu dibuat rentetan dari permohonan semakan keputusan Mahkamah Sesyen 24 Julai lepas yang telah dibuat di Mahkamah Tinggi pada 14 Ogos telah ditolak setelah didengar dan diputuskan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Aslam Zainuddin.
Ahli Parlimen Pontian itu telah didakwa dengan dua pertuduhan iaitu di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan dan Seksyen 32(8)c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Beliau dituduh menerima wang daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang berjumlah RM2 juta daripada bekas perdana menteri melalui cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 Nov 2013, dan cek berkenaan telah ditunaikan sendiri oleh beliau, pada hari yang sama.
Beliau juga tidak melaporkan pendapatan tersebut kepada LHDN dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan Bagi Tahun Taksiran 2013 yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.
Ahmad Maslan didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini, pada 30 April 2014.
Bagi pertuduhan kedua, Ahmad Maslan telah didakwa memberi pernyataan palsu kepada Ketua Penolong Kanan Penguasa SPRM, Mohd Zairi Zainal berhubung isu berkenaan i bilik sidang media, Bangunan Parlimen, Jalan Parlimen, di sini antara 2.45 petang hingga 3.30 petang pada 4 Julai 2019.
–