NILAI, 22 Sept — Maryam Mokhtar, 17, dan Hasnul Fikri Ahmad Syukri, 17 antara yang telah dirai di dalam Majlis Penganugerahan Insan Junior Certificate (iJSC) dan Anugerah Kecemerlangan Abqari (AKRAB) 2020, Kolej Genius Insan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di sini hari ini semperna penganugerahan Anugerah Abqari Perdana 2019 yang diterima mereka.
Anugerah Abqari Perdana merupakan anugerah tertinggi yang diberikan kepada pelajar yang menunjukkan kecemerlangan dalam bidang akademik, kokurikulum, Ulumuddin dan mempunyai sahsiah terpuji.
Maryam yang berasal dari Rawang Selangor, dalam perkongsian resepi kejayaannya, menyatakan bahawa dia berpegang pada amalan solat Dhuha setiap hari untuk membuka pintu rezki.
Maryam yang juga merupakan anak bongsu dari tiga orang adik beradik itu juga menyatakan, kejayaan yang diperolehinya adalah hasil dari doa restu kedua ibu bapa yang sentiasa mendorongnya, selain dorongan para guru dan rakan-rakan serta kerja kerasnya.
Maryam bercita-cita untuk menjadi ahli farmasi dan pernah mengikuti program pertukaran pelajar ke Nazarbayev Intellectual School, Kazakhstan selama seminggu pada Februari lepas.
Sementara Hasnul Fikri yang berkongsi anugerah yang sama menyatakan bahawa beliau bercita-cita untuk membuka mata dunia tentang kebaikan Islam.
Menurut anak sulung dari lapan orang adik beradik ini, beliau sentiasa terinspirasi untuk mengaplikasikan al-Quran dan sunah dalam kehidupan seharian dan ingin memberi manfaat kepada masyarakat keseluruhan.
Oleh itu, beliau berharap suatu hari nanti beliau dapat merealisasikan impiannya untuk menyebarkan pengetahuan yang betul tentang Islam dengan menjadi pensyarah dalam bidang agama Islam di Universiti Oxford.
Menurut Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Kementerian Pendidikan Malaysia, Datuk Kamel Mohamad, seramai 160 penerima AKRAB daripada 192 pelajar yang diraikan hari ini adalah terdiri daripada pelajar yang cemerlang dalam segala aspek termasuklah akademik, hafazan dan kokurikulum.
Selebihnya merupakan penerima iJSC iaitu anugerah kepada murid lepasan Asas 3 yang mencapai Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) melebihi 3.0 yang merangkumi komponen akademik, kokurikulum, hafazan dan pembangunan diri
Antara anugerah lain yang disampaikan dalam majlis yang telah memasuki tahun ketiga itu ialah Anugerah Khas Tamat 30 Juzuk, Anugerah Khas Olimpiad Peringkat Kebangsaan dan Anugerah Emas Penyelidikan Peringkat Kebangsaan.
–