BPN 2.0 Mula Disalur Oktober Ini

0
253

Kuala Lumpur, 23 Sept — Seiring dengan usaha untuk memulihkan ekonomi dan menjamin kesejahteraan rakyat, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melaksanakan beberapa inisiatif dan bantuan tambahan di bawah pakej Kerangka Inisiatif Tambahan PRIHATIN (KITA PRIHATIN) membabitkan peruntukan berjumlah RM10 bilion.
Pakej tambahan itu meliputi Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0 yang berjumlah RM7 bilion, Program Subsidi Upah 2.0 sebanyak RM2.4 bilion dan Geran Khas Tambahan bernilai RM600 juta.
Pemberian tunai tambahan di bawah Bantuan Prihatin Nasional 2.0 (BPN 2.0) yang membabitkan peruntukan RM7 bilion diumumkan akan mula disalurkan Oktober ini.
Perdana Menteri juga mengumumkan tiada permohonan untuk dapatkan BPN 2.0 perlu dibuat kerana kerajaan akan menyalurkannya secara terus kepada 10.6 juta penerima yang sudah lulus sebelum ini.
Kerajaan menyasarkan kepada empat kategori untuk salurkan bantuan BPN 2.0 ini. Kategori pertama ialah kumpulan isi rumah B40 yang akan menerima RM1,000; Kategori kedua ialah kumpulan individu bujang B40 yang akan menerima RM500; Kategori ketiga adalah kumpulan isi rumah M40 yang akan menerima RM600 dan kategori keempat kumpulan M40 bujang yang akan menerima RM300.
Bayaran BPN 2.0 akan dibuat dalam dua ansuran iaitu pada bulan Oktober 2020 dan Januari 2021.
Rayuan dan permohonan baru akan dibuka untuk mereka yang layak tetapi tidak pernah menerima BPN. –