Anwar Mendapat Majoriti Untuk Bentuk Kerajaan

0
264

Kuala Lumpur, 23 Sep — Dalam satu sidang media tergempar, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa mendapat sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan dan menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Anwar mendakwa telah mendapat perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Selasa jam 11 pagi, tetapi tertangguh memandangkan Seri Paduka sedang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).
Anwar yang juga merupakan ketua pembangkang mendakwa beliau mendapat sokongan dari ahli-ahli parlimen Islam-Bumiputra, bagaimanapun, enggan mendedahkan jumlah sokongan dan nama parti.
Ahli Parlimen Port Dickson itu juga enggan mendedahkan langkah dan perincian lanjut tentang kerajaan baru yang akan ditubuhkan sehinggalah pertemuannya dengan Yang di-Pertuan Agong nanti.
Ditanya tentang kemungkinan untuk mempelawa Muhyiddin bekerjasama, Anwar menjelaskan bahawa dia mengalu-alukan penyertaan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu malahan kerjasama tersebut akan menjadikan proses peralihan kuasa menjadi aman dan teratur.
Menurut Anwar, majoriti yang diterima beliau menyebabkan Muhyiddin jatuh sebagai Perdana Menteri. Sungguhpun demikian, Muhyiddin boleh bersedia berkhidmat dengan apa-apa kedudukan yang sesuai nanti, tambah beliau.
Menyentuh tentang penglibatan Mahathir, Anwar mengesahkan bahawa Mahathir dan Parti Pejuang Tanah Airku (Pejuang) tidak termasuk dalam senarai sokongan majoriti seperti yang didakwanya.
Enggan mengulas panjang, Anwar menyatakan penyertaan Dr Mahathir bersama parti baharunya, akan ditentukan kemudian.
Risikan mendapati Anwar mendapat sokongan 42 ahli Parlimen DAP, manakala tiada seorang ahli Parlimen PAS dan GPS yang menyokong Anwar Ibrahim