Saya Tidak Perlu Minta Maaf – Mohamaddin Ketapi

0
227

LAHAD DATU, 21 Sept — Calon Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Mohamaddin Ketapi menjelaskan bahawa kenyataan yang dibuat dalam sebuah video tular, sewaktu berkempen di kampung Wawasan, telah disalaherti dan diputar belit oleh orang yang tidak  bertanggungjawab.
Beliau mendakwa bahawa video yang diambil tidak seharusnya merujuk hanya kepada satu bahagian sebaliknya harus dimainkan sepenuhnya agar tidak timbul salah faham.
Terdahulu, video yang melibatkan ucapan beliau yang menyatakan “anggota tentera berperang dengan ayam dan anjing” yang tular di media sosial hanyalah berdurasi satu minit sembilan saat.
Beliau mendakwa bahawa ramai orang salah faham dengan kenyataannya kerana beliau bukanlah bermaksud untuk memperkecilkan atau menghina anggota keselamatan negara.
Malah menurut beliau, beliau sebenarnya membangkitkan isu kegagalan Barisan Nasional (BN) sewaktu menjadi kerajaan dalam memantapkan aset pertahanan di sempadan negara sehingga memberi peluang untuk anasir luar menceroboh Tandou, Lahad Datu.
Sehubungan dengan itu, beliau menyatakan bahawa beliau tidak berbuat kesalahan yang memerlukan beliau memohon maaf sebaliknya beliau hanya perlu memohon maaf atas video kempennya yang tular atas niat jahat pihak tidak bertanggungjawab sehingga mengguris hati anggota keselamatan keseluruhannya.