Penceroboh Bakal Ganggu PRN: Keselamatan Diperketat

0
261

KOTA KINABALU, 22 Sept — Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazalim sebelum ini mendedahkan bahawa dia ada menerima maklumat tentang kekacauan yang akan ditimbulkan pada hari pengundian Sabtu ini oleh rakyat negara asing yang masuk secara besar-besaran melalui perairan Sabah.
Hazani bagaimanapun merahsiakan sumber maklumat, bentuk kekacauan dan bilangan rakyat asing yang akan masuk ke Sabah.
Selain itu, Hazani jua ada menerima maklumat dari pasukan keselamatan Filipina tentang adanya cubaan untuk menculik dan meminta wang tebusan oleh penjenayah Filipina.
Menurut Hazani, setakat Mei lepas sehingga kini, pasukan keselamatan menerima sembilan kes kegiatan cubaan menculik untuk wang tebusan  di Sabah oleh penjenayah Filipina yang menyeberang masuk melalui perairan Sabah.
Malah, pada 2018, pada Pilihanraya Umum (PRU) yang lepas terdapat satu kes culik berlaku di Tambisan, Lahad Datu. Penjenayah ini mengambil kesempatan atas kesibukan anggota keselamatan khususnya polis untuk masuk ke Perairan Sabah dan melakukan jenayah.
Sehubungan dengan itu, pasukan keselamatan dikerah untuk mempertingkatkan kawalan di sempadan perairan Sabah bagi memastikan ancaman-ancaman dari anasir luar ini tidak berlaku.
Hazani menegaskan bahawa kawalan keselamatan dipertingkat bukan saja pada musim pilihanraya tetapi akan berterusan sehingga habis pilihanraya untuk memastikan keamanan dan keselamatan Sabah terus terjamin.