KOTA KINABALU, 22 Sept — Susulan daripada video kontroversi calon pilihanraya Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Mohamaddin Ketapi, 35 laporan polis telah dibuat dengan 28 daripadanya dibuat di Sabah dan baki 7 laporan di Semenanjung kata Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali.
Kes telah dibuka di bawah Seksyen 500 dan 505 B Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dengan siasatan akan diambil alih sepenuhnya oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukti Aman.
Hazani menegaskan bahawa siasatan akan dilakukan secara professional dan hasil siasatan akan dihantar ke pihak peguam negara untuk tindakan lanjut.
Bagaimanapun, keterangan Mohamaddin mungkin hanya akan diambil selepas PRN Sabah supaya proses kempen dan pilihanraya yang sedang berlangsung ketika ini tidak terganggu katanya lagi.
Mohamaddin sebelum ini dalam kempennya di Kampung Wawasan Ahad lalu, telah mengatakan bahawa insiden serangan pengganas Sulu pada 2013 merupakan sandiwara dan bermotif politik.
–