KUALA LUMPUR, 21 Sept — Bagi menjawab soalan Senator Datuk A. Kesavadas dalam sesi soal jawab dalam Dewan Negara hari ini berkenaan kes buli siber di media sosial, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah menjelaskan bahawa kementeriannya dan Universiti Multimedia Malaysia (MMU) sedang bekerjasama, menjalankan penyelidikan berkenaan keperluan undang-undang khusus berkaitan antibuli siber.
Rangka kerja yang sesuai bagi mengkaji mekanisme terbaik menangani buli siber sedang dibangunkan melalui sesi libat urus dan perbincangan.
Beliau mendakwa, undang-undang akan dipinda jika undang-undang sedia ada didapati tidak memadai untuk menangani permasalahan buli siber.
Ujar beliau lagi, bagi memastikan pindaan atau perundangan baharu yang dibuat adalah wajar dan berkesan, sekiranya perlu, kementerian akan mendapatkan konsultansi dari pihak awam dan pihak berkepentingan.
Sungguhpun demikian, menurut beliau, undang-undang sedia ada seperti Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Jenayah Komputer 1997, dan Kanun Keseksaan masih boleh dipakai bagi mengatasi kes buli siber.
Selain itu, menurut menteri itu juga, undang-undang lain juga boleh dikuatkuasakan bersama-sama undang-undang sedia ada, termasuk di bawah perundangan sivil, bergantung pada fakta kes.
“Undang-undang secara umumnya tertakluk kepada semakan secara berterusan, termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” sambungnya lagi.
Sehingga Ogos tahun ini, beliau melaporkan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengambil tindakan ke atas 3,224 akaun palsu dimana dengan kerjasama pihak penyedia platform, 80 peratus dari akaun palsu tersebut telah dipadam.
Sejumlah 3,638 pautan yang menyediakan kandungan berunsur buli siber, kebencian dan sebagainya telah dirujuk untuk tindakan lanjut penyedia platform seperti Facebook, Twitter, Google, Instagram, Youtube dan lain-lain dengan 60 peratus darinya telah dipadam kerana perlanggaran terma dan syarat penyedia platform.
Menurut beliau, selain aduan orang ramai, penyedia platform seperti Facebook dan lain-lain, turut memantau kandungan serta akaun yang terbabit dan akan mengambil tindakan sewajarnya, jika bertentangan dengan terma dan syarat serta piawaian komuniti yang ditetapkan.
–