KUALA LUMPUR, 21 Sept — Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan kenyataan Datuk Mohamaddin Ketapi bahawa insiden pencerobohan di Tanduo, Lahad Datu, Sabah pada tahun 2013 adalah satu sandiwara dan berkepentingan politik adalah satu kenyataan yang biadap dan penghinaan kepada pasukan keselamatan khususnya kepada keluarga 10 anggota keselamatan yang terkorban dalam tragedi berkenaan.
Ismail Sabri dalam kenyataannya hari ini menyatakan bahawa seluruh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengetahui akan kebenaran peristiwa itu dan tidak pernah ada pihak yang mempertikainya secara terbuka.
Tambahnya lagi, kenyataan Mohamaddin dalam keadaan negara baru lepas menyambut sambutan Hari ATM 16 Sept lepas, mencerminkan betapa beliau tidak prihatin dan merendahkan pengorbanan pihak tentera.
Semua pihak diingatkan supaya tidak menyentuh isu sensitif khususnya melibatkan keselamatan dan kedaulatan negara yang boleh membangkitkan kemarahan dan rasa tidak selesa
Panglima ATM Jeneral Tan Sri Affendi Buang pula menyifatkan tuduhan anggota ATM hanya membuat serangan kepada ayam dan anjing merupakan tuduhan yang tidak benar, tidak bertanggungjawab dan memperlekeh tugas anggota tentera yang mempertahankan kedaulatan negara.
Menurut beliau, kenyataan mantan menteri perlancungan itu tidak boleh terima dan turut menyinggung perasaan keluarga anggota yang terkorban.
Bagi memastikan keharmonian, keamanan dan kesejahteraan rakyat Malaysia terjamin, banyak pertumpahan darah, pengorbanan dan keringat mereka terdahulu yang dicurah sepanjang 87 tahun ATM berkhidmat.
Rakyat Malaysia diingatkan supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan dan menjejaskan keharmonian negara sebaliknya rakyat seharusnya bersama pasukan keselamatan menjaga kedaulatan dan maruah negara kerana ia merupakan tanggungjawab bersama.
–