KUALA LUMPUR, 20 Sept — Kejadian tular di media sosial membabitkan sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki, remuk di bahagian bumbung, dikatakan tiada kaitan dengan pembinaan Lebuh Raya Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE) di Taman Leng Seng, Cheras.
Kenderaan itu sebaliknya disyaki dirempuh sebuah kenderaan lain yang membawa kren di kawasan pembinaan tersebut.
Laporan awal pegawai penyiasat di tempat kejadian tidak menemui sebarang objek yang mencurigakan yang menghempap kenderaan terbabit, tegas Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ACP Zulkefly Yahya.
Sungguhpun demikian, menurut beliau siasatan dari pihak polis masih terus dijalankan.
Susulan insiden parapet atau panel konkrit tembok sisi jambatan, terjatuh dari struktur binaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), berhampiran Bandar Tasik Selatan di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), yang menghempap kereta seorang wanita semalam, Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) telah mengarahkan pemberhentian serta-merta kerja-kerja pembinaan Lebuhraya tersebut.
Ia bagi membolehkan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) menjalankan siasatan yang komprehensif bagi mengenalpasti punca kejadian selain menentukan sama ada terdapat pelanggaran kehendak perundangan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaaan 1994.
–