Bekas MB Meninggal Dunia

0
218

KUALA TERENGGANU, 21 Sept — Tan Sri Wan Mokhtar Bin Wan Ahmad, Bekas Menteri Besar Terengganu dilaporkan meninggal dunia kira-kira pada jam 6.20 pagi tadi ketika menerima rawatan di Prince Court Medical Centre, Kuala Lumpur.
Menurut anak Allahyarham yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih di dalam satu hantaran Facebooknya, Allahyarham akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam, Seksyen 21, Shah Alam, setelah disembahyangkan di Masjid Bukit Jelutong, Shah Alam selepas waktu Zohor hari ini.
Wan Hakim dalam hantaran Facebooknya turut meminta agar orang ramai memohon keampunan Allah bagi pihak allahyarham.
“Mohon doakan keampunan Allah pada arwah, dipermudahkan perjalanan di alam barzakh dan mendapat ganjaran syurga di akhirat nanti.
“Mohon maafkan segala dosa-dosa arwah, halalkan makan minum dan tuntutlah pada keluarga sekiranya ada hutang dengan tuan-tuan dan puan-puan,”
Allahyarham merupakan bekas Menteri Besar Terengganu paling lama berkhidmat iaitu di antara tahun 1974 sehingga 1999 dan pernah dihantar ke Arab Saudi dari tahun 2000 hingga 2005 sebagai Duta Besar Malaysia.
Antara jasa Allahyarham ialah menubuhkan Yayasan Islam Terengganu, Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu dan memperkenalkan hadiah wang tunai untuk pelajar cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah dan Penilaian Menengah Rendah.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 88 tahun dan meninggalkan lima orang anak.