Tun M Hanya Minta 6 Bulan, Akui Diri Sudah Sangat Tua

0
1241

Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan bahawa beliau tidak pernah mengingkari janjinya walaupun Datuk Seri Anwar Ibrahim bimbang keadaan itu akan berlaku.

Dr. Mahathir berkata, beliau telah menegaskan bahawa hanya akan menjadi Perdana Menteri (PM) selama enam bulan dan sudah merancang untuk berundur dan menyerah kuasa kepada Anwar selepas selesainya persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

Kata Dr. Mahathir, beliau juga sudah ada rancangan yang menyeluruh untuk menyelesaikan pelbagai isu membabitkan kesilapan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Saya tahu apa yang perlu saya lakukan dalam enam bulan, saya ada pelbagai jalan penyelesaian. Beliau (Anwar) boleh menerima jawatan selepas enam bulan,” katanya dalam wawancara bersama Sinchew Daily.

Dalam wawancara itu, Dr. Mahathir berkata beliau tidak lagi mahu bekerjasama dengan PKR tetapi mengekalkan hubungan dengan DAP dan Amanah selepas PKR tidak menyokongnya menjadi PM.

Dr. Mahathir juga menolak tawaran menjadi Menteri Mentor dalam Kabinet jika Anwar menjadi Perdana Menteri.

Ditanya sama ada Anwar tidak mempercayainya, Dr. Mahathir berkata: “Adakah Anwar sudah tidak percaya saya? Kita sama-samalah. Dia melihat saya akan mungkir janji. Saya bertanya bila saya pernah mungkir janji.”

“Saya sudah bersetuju untuk berundur selepas APEC. Saya cuma mahu menjadi PM sehingga November.

“Oleh itu, saya akan berundur selepas enam bulan. Saya sudah tidak mahu menjadi PM, Saya sudah tua. Tahu tak anda, saya sudah sangat tua, sangat sangat tua.

“Malahan saya nyatakan tarikh persaraan yang saya tidak bagi sebelum ini. Tetapi, dia ternyata tidak selesa. Anwar mahu menjadi PM sekarang dan tidak mahu tunggu enam bulan,” kata Dr. Mahathir.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir juga ditanya sama ada pendirian yang tidak konsisten termasuk soal PM selama enam bulan dan PM setahun telah menyebabkan Anwar tidak percaya.

“Saya nak satu tahun dan beliau mesti tak setuju. Oleh itu, saya katakan enam bulan,” jawab Dr. Mahathir sambil tersenyum. – MalaysiaGazette

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here