Mat Sabu Gesa PH Bersedia, Jangka Pilihan Raya Mengejut Bakal Berlaku

0
748

Presiden Amanah, Mohamad Sabu menjangkakan pilihan raya mengejut akan diadakan dalam masa terdekat, justeru beliau menggesa parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH) segera mempersiapkan jentera pilihan raya masing-masing.

Dalam satu kenyataan selepas berlangsungnya mesyuarat Jawatankuasa Pimpinan Nasional Amanah hari ini, beliau menegaskan, iltizam dan komitmen dalam mempertahankan kesatuan PH sebagai satu-satunya wadah yang memperjuangkan kesejahteraan rakyat dan melaksanakan perubahan dalam negara.

Katanya, adalah menjadi tanggungjawab PH bersama gabungan Tun Dr Mahathir Mohamad dan pasukannya serta Warisan untuk terus berusaha mengambil balik mandat dan hak rakyat yang telah diberikan kepada PH dalam pilihan raya umum yang lalu.

“Ini adalah untuk meneruskan usaha mentadbir negara yang menjunjung keutuhan integriti, menjamin dan membentuk ekonomi yang mapan, menegakkan kerajaan berintegriti dan melawan rasuah serta mewujudkan keharmonian antara kaum dan agama,” katanya.

Menurut beliau, Amanah juga mengambil berat kegelisahan dan kerisauan rakyat terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang didakwa ditubuhkan tanpa mandat rakyat dan membelakangkan amalan urus tadbir baik.

Ahli Parlimen Kota Raja itu mendakwa PN mengabaikan fungsi dan peranan Parlimen sebagai institusi semak dan imbang terutamanya dalam urusan perbelanjaan dana awam.

“Lebih membimbangkan, pembebasan beberapa individu yang terkait dengan tuduhan rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang berskala besar baru-baru ini yang menimbulkan tanggapan campur tangan politik dalam institusi kehakiman.

“Ini juga menimbulkan tanggapan akan berlaku pembebasan individu-individu lain yang sedang didakwa dan juga penularan amalan-amalan rasuah,” katanya.

Beliau juga mendakwa tindakan kerajaan PN memperalatkan kedudukan dan jawatan sebagai habuan untuk meraih sokongan ahli Parlimen akan menyebabkan kepentingan institusi negara terjejas.

“Salah guna institusi penguatkuasaan dan perundangan untuk mendakwa dan memberikan tekanan terhadap pemimpin pembangkang juga dilihat menjadi amalan baru kerajaan,” katanya.

Amanah, DAP, Warisan menyatakan sokongan terhadap pencalonan Dr Mahathir sebagai perdana menteri kesembilan jika gabungan parti pembangkang di bawah PH itu berjaya menjadi kerajaan semula.

Bagaimanapun sekutu mereka iaitu PKR telah menetapkan pendirian untuk menolak pencalonan Dr Mahathir sebaliknya menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim. – MalaysiaGazette
Share this:

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here