KENYATAAN AKHBAR
KETUA PERGERAKAN PEMUDA UMNO
WILAYAH PERSEKUTUAN
Saya merujuk kepada kenyataan Ketua Pemuda DAP (Dapsy) yang menuduh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia munafik dan meminta beliau bermuhasabah diri.
- Pertama sekali saya ingin menyatakan pendirian Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan yang menyokong penuh saranan KPUM untuk gencatan politik dilakukan oleh kesemua parti- parti politik.
- Ini kerana negara berhadapan dengan cabaran yang amat hebat dengan serangan pandemik COVID-19 yang seterusnya membawa kepada keadaan ekonomi yang mencabar. Rakyat kini perlukan sebuah kerajaan yang stabil dan fokus untuk menyelesaikan masalah rakyat.
- Pelbagai isu sosio-ekonomi rakyat yang perlu diberi perhatian penuh oleh kerajaan Perikatan Nasional seperti kebolehupayaan perniagaan untuk terus beroperasi, memastikan peluang pekerjaan dapat diwujudkan dan ekonomi negara dapat berkembang baik.
- Situasi yang lebih mencabar menanti kita selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakkan Pemulihan (PKPP) berakhir dan semua parti politik seharusnya perlu mempunyai aspirasi yang sama iaitu, memperkukuhkan kedudukan ekonomi negara dan memastikan kesejahteraan rakyat terjaga. Bukannya asyik menjual nama rakyat kononnya PH yang perlu menjadi kerajaan. Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong telah memperkenan Perikatan Nasional sebagai kerajaan. Cukuplah drama politik yang seperti tiada kesudahan ini.

- Kita juga sedia maklum akan keruntuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) adalah disebabkan oleh mereka sendiri. Jika tiada angin masakan pokok bergoyang. Akhirnya kerajaan PH hanya mampu bertahan selama 22 bulan sahaja. Yang perlu bermuhasabah adalah YB Howard Lee. Muhasabah diri dan fikirkan di mana silap DAP yang menyebabkan kejatuhan PH. Jangan perasan seperti DAP itu terlalu sempurna dan tidak mempunyai cacat celannya yang menyumbang kepada kegagalan PH.
- Tiada sesiapa dari UMNO yang memaksa Tun Mahathir untuk meletak jawatan sekaligus membubarkan kerajaan pimpinan beliau. UMNO bukan ahli Majlis Presiden Pakatan Harapan. Disebabkan isu politik dalaman yang tidak berkesudahan akhirnya rakyat menjadi mangsa. Cukuplah berpolitik, negara sedang dalam krisis. Kami bukan kata berhenti berpolitik selama-lamanya, hanya gencatan sementara.
- Mandat rakyat diberikan melalui setiap kerusi Parlimen. Kini PPBM tidak lagi mahu bersama DAP. Itu bukan keputusan UMNO tetapi atas sebab-sebab yang DAP dan parti-parti komponen PH sahaja yang tau. Perikatan Nasional yang merupakan kerjasama di antara ahli-ahli parliamen UMNO (BN), PAS dan PPBM kini sedang berusaha membawa kestabilan negara. Peluang telah diberikan kepada PH dan DAP, tetapi mereka gagal untuk mempertahankan pentadbirannya bukan disebabkan oleh orang lain tetapi disebabkan oleh PH dan DAP sendiri. Jangan jadi seperti anak kecil yang kuat merengek, jalankan tanggungjawab sebagai pembangkang berwibawa.
- Fokus kita semua adalah untuk membina semula negara kesan daripada Covid-19. Letak dulu permainan politik dan dahulukan rakyat. Fikirkan hal penderitaan rakyat yang lebih penting daripada agenda politik DAP. Muhasabah ini untuk kita semua lakukan demi kepentingan rakyat. Gencatan politik adalah untuk rakyat dan DAP perlu berhenti menunding jari menyalahkan UMNO dan mula meletakkan kepentingan rakyat melebihi kepentingan parti mereka.